Friday, February 27, 2009

Baharom 12

Aku pakai jersi nombor 12 sejak mula-mula bermain di liga kompetetif. Nombor itu bukanlah nombor bertuah pun. Tidak ada apa-apa makna langsung. Kalau ikutkan hati aku, aku mahu menyarung jersi bernombor 1 atau 2. Tetapi hajat aku itu menjadi buah mulut orang apabila mula-mula menyarung jersi pasukan kebangsaan dahulu. Peminat bising, persatuan bolasepak tak benarkan, media perbesar-besarkan perkara itu dan macam-macam hal lagi. Mereka mahu aku pakai jersi nombor 10 seperti Maradona, Pele, Platini dan bintang-bintang bolasepak dunia yang lain. Tak faham aku. Itu baru hal jersi. Sepatutnya aku perbesarkan isu rumput.

Sebagai perkenalan, aku Baharom atau nama sebenar seperti yang tertera di kad pengenalan ialah Baharom Bin Bahari. Abah kata nama itu adalah gabungan nama dia dan nama emak. Emak bernama Romlah. Panjang juga akal abah dan emak. Aku seorang bekas pemain bolasepak profesional. Posisi aku dahulu sebagai pemain tengah menyerang. Pemain tengah menyerang ini memang posisi kegemaran aku sejak darjah 4. Senang sahaja tugasku. Aku hanya perlu mendapatkan bola, mencipta peluang untuk rakan penyerang atau menyudahkan peluang yang muncul. Aku tidak pernah bermain di posisi lain. Sebelum bersara, ada juga kelab yang mahu menawarkan kontrak lumayan untuk aku bermain dengan pasukan mereka. Tetapi mereka mahukan aku bermain sebagai pemain pertahanan. Kononnya sesuai dengan usia veteranku. Aku tolak mentah-mentah. Lebih baik aku tidak bermain langsung daripada membuat sesuatu yang bukan kebolehanku. Aku juga ada reputasi yang perlu dijaga.

Aku dilahirkan pada tahun 1999 iaitu pada hari ketika Zinedine Zidane dianugerahkan Pemain Terbaik Dunia FIFA 1998. Makanan kegemaranku ialah nasi goreng kampung. Minuman kegemaranku pula air kacang soya. Lagi-lagi air kacang soya yang emak masak di rumah. Memang lazat. Air kacang soya yang emak masak tak sama macam yang dijual dalam botol atau dalam kotak di kedai-kedai itu. Tapi jarang emak masak air itu. Bulan Ramadan dapatlah merasa.

Di dalam adik-beradikku yang hanya tiga orang, aku anak kedua. Yang sulung, kakak. Yang bongsu, adik. Kakak yang bernama Ramona 5 tahun lebih tua dari aku. Aku tua 5 tahun dari adik yang bernama Borhan. Mungkin ini memang sengaja dirancang oleh emak dan abah. Ada juga aku dengar pepatah mengatakan ‘kita mampu merancang, hanya tuhan yang menentukan’. Tetapi tidaklah aku pasti sama ada itu pepatah yang disahkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka atau tidak.

Waktu kecilku, abah seorang kerani di pejabat tanah daerah. Kerjanya ialah masuk ke pejabat pada pukul 8 pagi dan pulang ke rumah pada pukul 5 petang. Begitulah setiap hari dari hari isnin hingga ke jumaat. Tidak kaya-kaya. Sekarang abah sudah bersara. Tetapi tidak kaya juga. Emak pula seorang suri rumah sepenuh masa. Emak cukup cemerlang di rumah. Rasanya emak tidak pernah pun mengikuti kursus suri rumah secara formal. Aku cukup suka suara emak ketika bernyanyi dodoikan adik di dalam buaian. Merdu suaranya. Entah-entah emak yang mengajar Siti Nurhaliza, penyanyi lagenda dari tempat kelahiranku itu menyanyi.

Zaman itu apabila hampir waktu abah pulang ke rumah dari pejabat, aku sudah bersedia di halaman dengan sebiji bola. Bola kulit bersaiz 5 pemberian abah itu aku timbang sampai sebati dengan kaki. Bola itu memang berat. Abah kata, bola itulah yang digunakan oleh pemain bolasepak sebenar. Aku bangga. Sebab semasa itu aku baru darjah 1. Bila abah tiba saja di rumah dengan kereta Kancil yang pada zaman itu memang popular, aku menggelecek abah sehingga maghrib. Tapi kalau bola di kaki abah, memang cukup sukar untuk aku rampas. Abah memang handal. Pada usia mudanya dia adalah pemain bolasepak separuh profesional dan pernah ditawarkan bermain untuk pasukan bahagian dua Liga Perancis . Cuma yang aku hairan tidak ada satu piala, medal atau gambar-gambar yang dipamerkan di rumah untuk aku lihat. Ya, aku ditipu abah sehingga dewasa.

Keluarga kami sederhana. Kami hanya tinggal di kuarters kakitangan kerajaan iaitu deretan rumah yang berusia di pinggir bandar Kuala Lipis. Aku seronok tinggal di situ. Rumah kami hujung sekali dan ada sedikit halaman dan kawasan lapang di tepinya. Di situlah aku setiap hari berlatih merembat bola ke dinding rumah dan bermain dengan abah. Aku ada lukis rajah tiang gol di dinding rumah itu dengan menggunakan arang dari orkid emak. Jarang sekali aku gagal menjaringkan gol. Penjaga golnya adalah sebatang pokok bunga kertas di dalam pasu bunga.

Di rumahku ketika itu tiada apa yang menarik. Tidak seperti rumah kawan-kawan yang lain, rumahku tiada siaran Astro, internet, dan jauh sekali permainan video model terkini. Abah hanya membelikan buku sebagai hiburan di masa lapang. Jadi setiap malam aku dan kakak hanya membaca buku manakala adik pula menconteng buku. Di sekolah aku jadi sering ketinggalan jika ada kawan-kawan yang sibuk bercerita perihal rancangan menyanyi Akademi Fantasia yang begitu popular dan ditayangkan di siaran Astro itu. Entah apa yang seronok aku tidak tahu. Namun aku tidak berasa rugi langsung. Itu bukan hal pemborakkan yang perlu bagi seorang laki-laki yang gagah sepertiku.