Wednesday, June 3, 2009

Stadium Al-Kampioen

Bagi aku, Maarof Muhayat memang betul-betul genius otak bergeliga macam kancil. Pertengahan tahun 2009, sebuah stadium bernilai RM448,000 yang dinamakan Stadium Al-Kampioen siap dibina. Entah mana Maarof Muhayat dapat nama stadium. Daripada cerita-cerita yang aku dengar masa darjah 4 dahulu, katanya nama stadium itu hasil gabungan arab dan sedikit sentuhan Belanda. Jadi hampir 60% penduduk Kuala Lipis tak pandai nak sebut dan seringkali bersepah bunyinya apabila menyebut nama stadium itu. Kadang-kadang disebabkan malu, ada segelintir yang menggantikan nama stadium itu secara sendiri sendiri dengan menyebut ‘Stadium Seberang’, ‘Stadium Baru’, ‘Stadium Maarof’ dan ‘Stadium Takde Rupa Stadium’. Ada juga penduduk yang cakap-cakap belakang tentang di mana penggunaan bahasa kebangsaan. Macam biasa, cakap saja lebih. Nasib baik perjuangan aktivis bahasa jarang-jarang sampai ke Kuala Lipis. Kalau sampai pun, sibuk ke hal lain. Memancing ikan dan menangkap gambar contohnya.

Stadium itu tidaklah besar macam Stadium Bukit Jalil atau Stadium Darulmakmur yang boleh memasukkan berpuluh-puluh ribu manusia besar kecil. Kalau disukat dari jumlah tempat duduk yang dibina, cuma kira-kira 500 orang sahaja yang boleh duduk. Yang lain berdiri atau bergayut di mana-mana. Kawasan tempat duduknya cuma di satu sudut padang. Ya, kecil sahaja stadium itu.

Aku masih ingat lagi ketika hari pembukaan stadium itu. Pada hari itu telah diadakan satu perlawanan bolasepak di antara pasukan veteran Pahang ’92 menentang skuad pilihan Kuala Lipis. Abah bawa aku ke stadium. Seperti biasa, perlawanan persahabatan yang dimainkan oleh pemain-pemain tua itu langsung tidak mengagumkan. Sepanjang perlawanan abah asyik bercerita tentang kehebatan pemain-pemain skuad Pahang 1992 itu ketika tahun aku belum lahir. Abah kata mereka adalah generasi pemain bolasepak Malaysia yang terakhir. Beberapa tahun selepas itu Malaysia tidak lagi memiliki pemain bolasepak. Aku hairan. Liga Super yang tiap-tiap minggu main dalam stadium tak ada orang itu dan dibawakan khas oleh penaja rasmi TM Net tu bukan pemain bolasepak ke?

Monday, June 1, 2009

6 Juta

Macam biasa, hari sabtu kedai Haji Sarip memang lain macam dia punya kencang. Kucar-kacir orang datang membeli cendol. Tekak macam tak pernah kena cendol. Haji Sarip dah terjerit-jerit mengawal warungnya. Dulu ada juga dengar khabar angin Haji Sarip isi seluar dalam dalam balang santan besarnya. Tapi tak jalan. Satu orang pun tak percaya. Nama pun Haji Sarip. Naik Haji saja dah 3 kali. Orang Tabung Haji semua dah ngam sama Haji Sarip. Apa jenis oranglah yang dengki sangat sama Haji Sarip. Salah strategi meniaga nak kacau kacau orang lain punya meniaga. Goreng ayam pun masin.

“Aku ingat nak buat pinjaman bank dalam RM6 juta” kata Maarof Muhayat sambil mulut berasap. Pisang goreng panas dalam mulutnya, Maarof kunyah kena tak kena.

“6 juta? Banyak juga tu Maarof. Kau nak buka cyber café ke?” terkejut Saiful Oraza.

“Cyber café apa sampai 6 juta? Filem Hollywood pun tak pernah tampilkan idea-idea macam tu. Aku ni nak buka stadium bola satu…” jawab Maarof.

“Baguslah tu. Nasib baik aku datang sini tumpang kau.” lemah lembut tutur kat Saiful Oraza.

“Kau tau tak aku serius ni Saiful. Esok bangun pagi sikit, kau ikut aku. Kita pergi Bank Hadhari.”

***

Hari ini Maarof Muhayat pakai smart. Kemeja lengan panjang sama seluar slack raya tahun sudah. Fail kertas manila Maarof kepit erat di celah ketiak. Saiful Oraza mengekori Maarof dari belakang. Saiful Oraza pun tak kurang smartnya.

“Assalamualaikum tuan pengurus.” tegur Maarof Muhayat berbudi bahasa.

“Waalaikumussalam. Jemputlah duduk.” jawab pengurus bank yang kelihatan agak senang tubuh badannya.

Disebabkan di hadapan meja pengurus ada satu kerusi, maka Maarof saja yang duduk. Saiful Oraza tersengih-sengih berdiri di sebelah Maarof.

“Saya datang ni nak buat pinjaman bank…” mula Maarof.

“Oh pinjaman bank. Nak pinjam berapa?”

“6 juta.” Ringkas jawapan Maarof.

“Banyak sangat tu 6 juta. Gaji saya yang RM18 ribu sebulan pun bank tak luluskan kalau saya nak buat pinjaman sebanyak itu. Jangan-jangan awak bergurau…” pengurus bank bercakap sambil terseringai ketawa.

Maarof Muhayat letak kaki atas meja. Tuan pengurus pucat.

“Cakap elok sikit tak boleh ke?” tegur Maarof Muhayat berang.