Friday, March 13, 2009

Piala Dunia

Ada satu bulan ketika aku masih di dalam darjah 1, hampir setiap hari ada perlawanan bolasepak orang putih di kaca TV. Aku hairan. Kalau tidak silap, semasa itu bulan Jun. Abah juga tidak ketinggalan menonton perlawanan-perlawanan itu. Kadang-kadang abah menonton hingga ke larut malam. Sebagai jalan mudah untuk aku menyelesaikan persoalan di dalam kepalaku, aku bertanya kepada abah.

“Kenapa tiap-tiap hari ada lawan bola abah?” tanya aku sambil mengunyah biskut ‘Meri’.

“Oh sekarang ni pertandingan bola sepak Piala Dunia sedang berlangsung di Jerman sana, Baharom. Jadi tiap-tiap harilah ada perlawanan.” Jawab abah juga sambil mengunyah biskut ‘Meri’.

Aku diam. Mata abah masih ke TV.

“Sekarang siapa lawan ni Abah?” tanya aku sambil mengunyah biskut ‘Meri’ yang entah keberapa keping.

“Perancis lawan Switzerland…” ringkas jawapan abah.

“Negara-negara saja abah ya?” tanya aku lagi.

“Ya. Negara-negara saja yang bertanding.”

“Malaysia ada main, abah?”

Abah diam.